CLASS OF DEM 6

POLITEKNIK KOTA BHARU

www.dem98.tk

 

 

PENGENALAN

 

Laman Web ini direka khas untuk bekas pelajar-pelajar kelas Diploma Kejuruteraan Mekatronik tahun 1998-2001, Politeknik Kota Bharu. Tujuan laman web ini direka adalah untuk memudahkan bekas pelajar-pelajar ini untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai butir-butir diri rakan-rakan yang lain serta mengikuti perkembangan semasa apa yang berlaku atau dilakukan oleh rakan-rakan yang lain.

Untuk pengetahuan semua, Diploma Kejuruteraan Mekatronik atau dengan kata pendek "DEM" atau "Diploma in Mechatronics Engineering" pada asalnya dikenali sebagai Diploma Kejuruteraan Elektro-Mekanikal. Ia merupakan salah satu kursus yang ditawarkan di Politeknik Kota Bharu dibawah pentadbiran Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Kota Bharu. Tempoh pengajian mengambil masa selama 3 tahun iaitu 6 semester termasuk satu semester untuk Latihan Industri. Skop pembelajaran meliputi bidang mekanikal, elektrik dan elektronik. Di sini pelajar-pelajar didedahkan dengan peralatan dan perkakasan robotik, mikropemproses dan peralatan elektronik dan mekanikal yang lain.

Bilangan pelajar adalah seramai 32 orang yang terdiri daripada 27 lelaki dan 5 perempuan yang diketuai oleh Fauzi Mansor selaku ketua kelas dan Norhayati binti Ab. Latif selaku penolongnya. Pensyarah kelas ialah Encik Zamri Yusof. Majoriti pelajar kelas terdiri daripada kaum Melayu,  diikuti dengan India dan Cina. Kebanyakannya berasal dari Negeri Kelantan dan Perak.

Dalam tempoh 3 tahun ini, pelbagai pengalaman manis dan pahit dilalui bersama dengan tabah dan penuh kesabaran. Ini termasuklah bab-bab salin-menyalin tugasan, meniru atau memberi tiru semasa kuiz dan ujian, minta tips dan sebagainya. Apa yang boleh dibanggakan adalah semua pelajar kelas ini bersatu hati dengan niat yang suci untuk berkawan dan berinteraksi antara satu dengan yang lain. Sifat bersatu hati di antara pelajar kelas jelas boleh dilihat semasa menunggu untuk memasuki kelas atau kuliah. Sekiranya pensyarah tidak sampai ke kelas atau kuliah selepas 15 minit masa kuliah, minit ke 16 sahaja semua pelajar sudah bersurai dengan serta-merta. Dahsyat betul! Namun, bukan semua perkara yang buruk sahaja dilakukan, terdapat juga banyak perkara baik dan murni dilakukan. Contohnya, mengulangkaji pelajaran bersama-sama semasa musim peperiksaan, siapkan final projek bersama-sama, naik motor round sana, round sini, lepak dekat warong dan sebagainya.

Di sini, semua pelajar Kelas DEM 1998-2001 ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pensyarah Politeknik Kota Bharu khasnya pensyarah yang telah mengajar pelajar kelas DEM 1998-2001. Jasa baik anda semua akan dikenang buat selama-lamanya. Teruskan perkhidmatan anda untuk melahirkan lebih ramai lagi graduan-graduan yang berkualiti pada masa akan datang.

Kini, selepas tamat pengajian, semua pelajar telah berpisah dengan membekalkan azam dan hala tuju masing-masing untuk mencapai kejayaan yang diidamkan. Ada dikalangan kita akan meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi lagi dan ada yang mengambil keputusan untuk bekerja dan menimba pengalaman. Walau apa pun tindakan yang diambil, dengan berkat kesungguhan dan kesabaran yang ada, semuanya akan berjaya.

Pesanan Penting:

-Sahabat sepanjang hayat... jauh di mata, dekat di hati.

-Tempuhi segala cabaran dengan tabah dan penuh kesabaran.

-Hindar dari semua kegiatan haram dan kegiatan yang salah di sisi undang-undang.

-Jauhi dadah!

Diharapkan Laman Web ini akan menjadikan ikatan persahabatan antara semua pelajar DEM berkekalan buat selama-lamanya. Semoga semua pelajar berada dalam keadaan sihat walafiat dan jaga diri masing-masing.